MELAKA: Seramai tujuh lelaki termasuk remaja diberkas polis selepas dipercayai aktif memecah masuk dan mencuri duit tabung masjid khususnya pada waktu Subuh, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil maklumat awam, kesemua suspek berusia antara 15 hingga 35 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan bermula Januari lalu.
Katanya, tangkapan tersebut juga dipercayai telah menyelesaikan lapan daripada 21 kes pecah tabung masjid yang dilaporkan dalam tempoh dua bulan.
“Kesemua suspek dipercayai bergerak secara solo dan mencuri duit tabung masjid pada waktu awal pagi iaitu sebelum masuk waktu solat Subuh.
“Suspek masuk ke dalam masjid dengan memakai topi keledar dan pelitup muka bagi melindungi identiti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, anggaran kerugian dilaporkan membabitkan lapan masjid terlibat dianggarkan RM5,000.
“Bagi daerah Melaka Tengah, masjid yang dipecah masuk tertumpu di kawasan Tanjung Minyak, Tanjung Kling, Batang Tiga dan Kandang, manakala di Alor Gajah di Kuala Sungai Baru serta Masjid Tanah.
“Dianggarkan nilai kerugian di setiap masjid adalah antara RM40 sehingga RM1,500 dan kita percaya suspek menggunakan hasil curi untuk membeli dadah serta perbelanjaan makananan kerana kesemua mereka tidak mempunyai kerja tetap,” katanya.
Abdul Majid menambah, kes pecah tabung rumah ibadah di negeri ini juga mencatatkan peningkatan sebanyak 13 kes atau 163 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 380/457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah masuk bangunan,” jelasnya. – UTUSAN
PERALATAN yang digunakan suspek dalam kegiatan pecah masuk masjid dan mencuri tabung masjid di sekitar Melaka.