KANGAR: Tindakan pembangkang tidak menyokong usul lanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen baru-baru ini tidak memberi kesan kepada memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan pembangkang.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perjanjian tersebut hanya berkaitan atau terpakai kepada undang-undang atau rang undang-undang (RUU) yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan dan bajet.
Kata Ahli Parlimen Arau itu, MoU sehingga Julai itu bagaimanapun tetap dihormati demi kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“MoU ini kita kena hormatilah, dalam Perhimpunan Agung UMNO pun Presiden ada sebut kita harus hormati perjanjian tersebut.
“Tindakan (pembangkang) tidak menyokong usul SOSMA itu tidak memberi kesan atau menyebabkan MoU kerajaan dengan pembangkang terbatal. MoU berkenaan berkaitan sama ada RUU Perbekalan atau usul tidak percaya,” katanya di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri gagal mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen 4(5) Akta SOSMA selama lima tahun lagi dan mengekalkan tempoh tahanan selama 28 hari kerana 86 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 84 bersetuju.
Pun begitu, keesokannya, keputusan undian bagi yang menyokong usul itu dipinda kepada 85 dan 49 ahli Parlimen tidak hadir setelah berlaku kekhilafan, namun ia tidak mengubah kemenangan memihak kepada pembangkang.
Seramai 31 ahli Parlimen kerajaan tidak hadir sebelum undian dimulakan, antaranya ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan); Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian); Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (BN-Putrajaya) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).
Ekoran itu, timbul persoalan mengenai tindakan ahli Parlimen pembangkang menolak usul berkenaan sebagai menunjukkan mereka melanggar MoU yang dimeterai dengan kerajaan, malah menyebabkan perjanjian itu terbatal serta membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilaksanakan segera.
Sementara itu, Shahidan berkata, Perdana Menteri telah memberi penekanan bahawa semasa sidang Dewan Rakyat, ahli Parlimen kerajaan khususnya tidak dibenarkan pergi ke luar negara sebaliknya memberi perhatian kepada Parlimen.
“Ini adalah arahan jelas daripada Perdana Menteri dan kita akan pastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi. Undang-undang ini mungkin akan dibawa balik ke Parlimen pada Julai ini.
“SOSMA ini, insya-Allah kalau dibawa balik pada Julai, kita akan menang. Apa jua keadaan sekali pun, kerajaan tetap majoriti, kita ada 114 kerusi. Bila berada dalam kerajaan, kena sokong kerajaan,” katanya. – UTUSAN