Tiga beradik ditahan miliki bekalan rokok seludup secara 'online'

Tiga beradik ditahan miliki bekalan rokok seludup secara ‘online’

POLIS menemukan kira-kira 1,119 karton rokok seludup pelbagai jenama ketika serbuan di sebuah stor penyimpanan di Kampung Peramu di Kuantan, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD KUANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Aktiviti penjualan rokok seludup yang didalangi tiga beradik terbongkar apabila rumah kayu kosong yang dijadikan stor penyimpanan di Kampung Peramu, di sini diserbu polis, semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, sepasukan anggota polis dari Unit Risikan Jenayah (URJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan  membuat serbuan di rumah tersebut kira-kira pukul 2.40 petang.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, polis menemukan sejumlah 1,119 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM80,000 yang disimpan dalam kotak dan plastik.

“Susulan penangkapan itu, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 25, 36 dan 50 tahun yang juga merupakan adik beradik telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, hasil soal siasat suspek berusia 36 tahun mengaku menjalankan perniagaan kedai runcit di Sungai Soi, di sini, dengan menjual bekalan rokok itu.

“Dua lagi suspek dipercayai membantu suspek pertama dalam kegiatan penerimaan rokok seludup berkenaan daripada pembekal. Suspek turut mengaku bekalan rokok berkenaan diperoleh melalui pembelian atas talian dalam kumpulan Whatsapp ‘Rokok Seludup’,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 manakala kesemua rokok yang dirampas akan dirujuk kepada Jabatan Kastam bagi menentukan nilai taksiran cukai.

“Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum denda 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau keduanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN