Tidak tahan dengar tangisan punca anak didera hingga mati - Utusan Malaysia

Tidak tahan dengar tangisan punca anak didera hingga mati

AHMAD ADNAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Hanya kerana tidak tahan mendengar tangisan, seorang wanita tergamak mendera anak perempuannya sehingga kanak-kanak itu menemui ajal, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian menimpa mangsa berusia satu tahun 11 bulan itu terbongkar selepas dia dibawa ibunya pada pukul 2.30 pagi ke sebuah hospital swasta di sini untuk rawatan kerana sesak nafas.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan oleh doktor mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal doktor ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan gigitan, lebam dan kecederaan termasuk luka di hidung, dagu dan cuping telinga kanan selain luka di belakang telinga kiri dan belakang kepala. Terdapat juga kesan luka besar pada lengan kanan, jari kelingking dan telunjuk tangan kiri serta luka koyakkan pada celah jari telunjuk dan jari hantu kiri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan tumpul di bahagian dada.

Katanya, tangkapan dilakukan ke atas ibu mangsa pada pukul 5 petang hari sama selepas menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan.

“Siasatan mendapati punca suspek mendera anak kandungnya itu kerana tertekan mangsa sering menangis. Mangsa baharu diambil semula oleh ibunya tahun lalu daripada pengasuh yang menjaga kanak-kanak itu sejak Jun 2020. Suspek merupakan seorang suri rumah dan suaminya bekerja sebagai nelayan. Suspek mempunyai empat anak dan mangsa merupakan anak ketiga,” katanya.

Tambahnya, suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN