KUANTAN: Ketiadaan capaian internet menyukarkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) membabitkan kira-kira 180 murid Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Lepar Utara 8 di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, Mohd. Norodzaime Affandy Mohd. Rodzi, 35, berkata, rata-rata murid ketinggalan dalam usaha mendapatkan pendidikan berikutan ketiadaan capaian internet.
Katanya, murid juga terpaksa ke pejabat koperasi Felda atau pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) untuk mencetak tugasan.
“Walaupun di sini capaian internet sehingga 4G, namun keadaan capaian internetnya masih lemah terutama ketika malam, kadang-kadang internet langsung tiada.
“Hendak memuat naik tugasan diberikan guru memang sukar kerana tiada internet. Jadi terpaksa pergi ke pejabat koperasi atau JKKR,” katanya di sini semalam.
Mohd. Norodzaime Affandy berkata, setiap kali PdPR, murid sekolah itu juga tidak dapat mengikuti pengajian menggunakan Zoom atau Google Meet.
“Hendak memuat naik kerja rumah pun sukar kerana tidak dapat membuka laman sesawang yang diminta, apatah lagi hendak mengikuti kelas melalui aplikasi Zoom atau Google Meet,” katanya.
Menurutnya, masalah capaian internet terbabit telah berlarutan sejak sekian lama, malah telah beberapa kali perkara terbabit diadukan kepada pihak berwajib.
“Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelesaikan perkara ini namun sehingga kini perkara ini masih tidak dapat diselesaikan. Banyak urusan tertangguh bukan sahaja melibatkan murid sekolah, malah juga ibu bapa yang bekerja tidak dapat menyelesaikan tugasan kerana ketiadaan capaian internet,” katanya.
Mohd. Norodzaime Affandy justeru itu berharap agar masalah terbabit dapat diselesaikan segera agar masyarakat Lepar Utara khususnya murid sekolah berkenaan tidak ketinggalan dalam pengajian.
“Kami sebagai ibu bapa tidak mahu anak-anak ketinggalan dalam pengajian mereka dan jika PdPR dilakukan semula, ia memberi kesukaran buat anak-anak kami mendapatkan pengajian yang sempurna kerana ketiadaan capaian internet,” katanya. – UTUSAN










