teliti dulu iklim

Teliti faktor iklim sebelum bina rumah

RODZIAH Ismail ditemui ketika meninjau kerja baik pulih dua rumah mangsa banjir di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di Shah Alam, Selangor, semalam. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perubahan iklim akan menjadi salah satu faktor bagi kerajaan Selangor untuk menjadikan sesebuah kawasan di negeri itu sebagai sebuah kawasan perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, perubahan cuaca drastik masa kini di negara ini membuatkan pihaknya perlu mengambil kira aspek tersebut, setelah melihat beberapa insiden yang tidak diingini berlaku di Selangor.

“Baru-baru ini, jabatan dalam portfolio saya telah bermesyuarat dan telah memasukkan perihal perubahan iklim sebagai salah satu aspek untuk meluluskan sesebuah projek perumahan di sesebuah kawasan.

“Bagi saya, kawasan yang sering kali berlaku bencana tidak perlu dibina apa-apa bangunan bagi mengelak kehilangan harta dan nyawa,” katanya selepas membuat tinjauan kerja baik pulih dua rumah mangsa banjir di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, semalam.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung keperluan kerajaan Selangor melihat perubahan iklim sebagai salah satu kriteria sesebuah kawasan sesuai untuk dijadikan kawasan perumahan.

Minggu lalu, empat individu terkorban dalam insiden tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Permai 2, Ampang.

Insiden tersebut sekaligus menimbulkan persoalan berhubung aspek keselamatan pembinaan kawasan perumahan yang berdekatan dengan kawasan bukit dan cerun.

Dalam pada itu, beliau berkata, spesifikasi bagi projek pembinaan rumah di kawasan bukit dan cerun telah lama dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.

Menurut Rodziah, kawasan cerun jenis 3 dan 4, iaitu dikategorikan sebagai bahaya, kerajaan negeri tidak membenarkan langsung sebarang projek perumahan dilakukan di situ.

“Apapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah meminta bahagian kejuruteraan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk melihat kestabilan cerun (berdekatan kawasan perumahan) terutama sekali di kawasan sensitif seperti di Ampang,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN