PUTRAJAYA: Tarikh semakan tawaran kemasukan Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus Tahun 2022 adalah ditetapkan pada 15 Mac ini.
Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan akhbar memaklumkan, semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Empat serta Tahun 1 SVM.
Menurutnya, tawaran kemasukan Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.
“Pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di SBP dan SMKA adalah pada 21 Mac hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat di SBP dan SMKA adalah pada 5 April ini.
“Selain itu, pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Satu di SBP dan SMKA akan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.
Katanya, pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat dan Tahun 1 SVM di SMT dan KV pula adalah pada 7 April ini.
Jelasnya, pendaftaran bagi murid baharu Tingkatan Empat ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my/. – UTUSAN