HULU TERENGGANU: Seorang penuntut tahun akhir diploma di Kolej Uniti Port Dickson, Negeri Sembilan terpaksa menangguhkan latihan praktikal demi menjaga ibunya yang menderita kanser otak tahap empat.
Rutin Muhammad Adib Afham Talib, 22, dari Kampung Kemat di sini berubah sejak ibunya, Fudziaton Yunus, 51, disahkan menghidap kanser berkenaan pada awal tahun ini.
Katanya, ketiadaan bapa tiri yang sudah lama meninggal dunia menyebabkan dia kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk menguruskan adik tirinya, Muhammad Aniq Darwish Zulnadi, 7.
“Emak adalah bekas pesakit kanser usus dan berjaya sembuh selepas menjalani 12 sesi kemoterapi dan pembedahan pada 2017, tetapi sejak akhir tahun lalu, kesihatannya kembali terganggu apabila mengadu sering sakit kepala serta sukar bercakap dengan jelas.
“Kini, emak sudah tidak dapat menguruskan diri dan perlu memakai lampin pakai buang, jadi saya perlu mengorbankan latihan praktikal bagi menghabiskan pengajian Diploma Pengurusan Industri Halal yang sepatutnya dijalani demi menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Muhammad Adib Afham berkata, sebelum ini dia bekerja di ladang ternakan ayam berdekatan bagi menyara ibu dan adiknya, namun rutin itu terbantut ekoran kesihatan ibunya yang makin teruk.
Katanya, mereka kini hanya bergantung kepada duit simpanan yang masih berbaki di samping bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Muhammad Adib Afham, 11001-41-00002693-6 atau menghubungi talian 011-29225400.- UTUSAN