KLANG: Lebih 20,000 penduduk di Bukit Kapar serta pengguna Jalan Iskandar berdepan risiko kemalangan apabila berlaku mendapan dan kerosakan teruk berulang kali.
Jalan tersebut menjadi tumpuan kerana merupakan laluan utama bagi penduduk di Kampung Bukit Kapar dan Kampung Bukit Kerayong yang menghubungkan dengan Jalan Meru Tambahan dan Pekan Kapar.
Malah, jalan tersebut juga merupakan laluan bagi lori-lori kompaktor menuju ke tapak pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor.
Bagaimanapun, ia didakwa tidak lagi selamat untuk dilalui kerana kerosakannya yang semakin meruncing sehingga menyebabkan satu lorong terpaksa ditutup akibat mendapan teruk.
Seorang penduduk dari Taman Baiduri di sini, Mohd. Faizan Salleh, 46, berkata, keadaan diburukkan lagi apabila laluan tersebut menjadi tumpuan lori berat dari projek industri berhampiran yang keluar masuk dari awal pagi hingga ke malam.
“Pernah berlaku kemalangan melibatkan penunggang motosikal akibat terjatuh kerana tiada papan tanda amaran jelas terutama pada waktu malam.
“Masalah ini bukan saja menyusahkan malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Lubang mendapan itu agak besar sehingga kenderaan terpaksa bergilir-gilir memberi laluan,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya , walaupun jalan itu pernah dibaiki sebanyak dua kali tahun ini, kerosakan kembali berulang akibat aktiviti kenderaan berat yang berterusan.
Seorang lagi penduduk, Kamarul Mohamad, 50, memberitahu, kesibukan lori yang keluar masuk di laluan itu setiap hari bukan sahaja menjejaskan keselesaan malah membahayakan keselamatan terutama ibu bapa menghantar anak ke sekolah.
“Di sini memang bahaya, lori terlalu banyak. Pagi tadi seawal sebelum Subuh pun lori sudah mula lalu lalang. Keadaan itu bukan sahaja mengganggu tetapi turut menjejaskan kesihatan penduduk kerana debu berterbangan.
”Kami minta pihak berkuasa segera turun padang membuat pemantauan dan mengambil tindakan agar jalan serta kawasan kampung ini kembali selesa dan selamat didiami,” ujarnya.
Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Klang, Ir. Khairul Amir Isahak memaklumkan pihaknya akui Jalan Iskandar kerap mengalami kerosakan, namun sudah pun berbincang dengan empat pemaju di sana untuk membaiki kerosakan.
“Empat pemaju utama di kawasan Bukit Kerayong bersetuju untuk menanggung kos baik pulih bersama. Dua minggu lalu kita sudah memanggil kesemua pemaju terlibat.
”Satu konsortium ditubuhkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan pemantauan penuh oleh JKR daerah. Bagi tujuan keselamatan, papan tanda amaran, kon dan penghadang jalan akan dipasang,” jelasnya.
Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat hari dan akan memastikan penyelenggaran dibuat secara berterusan oleh pemaju yang bertanggungjawab. – UTUSAN










