PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer yang ditahan kerana menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Khamis lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya , Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan, suspek berusia 47 tahun itu akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 B akta sama.
“Ya, akan dituduh esok,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kegiatan penyanyi nasyid yang juga komposer muzik menanam pokok ganja terbongkar selepas kediamannya diserbu polis.
Dalam serbuan pada pukul 5.30 petang, polis menemukan 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.
Turut ditemukan dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.- UTUSAN










