PETALING JAYA: Tiga saksi diambil keterangan percakapan bagi membantu siasatan berhubung kes orang awam dipukul seorang individu di sebuah kedai serbaneka di Cheras pada 17 Mac lalu.
Tiga individu yang dirakam keterangan itu termasuk seorang polis bantuan dan pekerja kedai serbaneka terbabit.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan awal mendapati individu berpakaian seragam polis bantuan yang berada di tempat kejadian tidak melakukan sebarang kekasaran terhadap seorang individu yang tidak membuat bayaran selepas mengambil makanan.
Kata beliau, polis bantuan tersebut turut membuat laporan polis menafikan dakwaan mengasari individu terlibat.
“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, dua video di aplikasi TikTok yang memaparkan kejadian seorang individu dikasari dua lelaki di kedai serbaneka itu.
Pada hari sama, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan sudah menjalankan siasatan susulan sebuah video yang tular dalam media sosial itu.
Dalam video berkenaan memaparkan lelaki berpakaian seragam syarikat itu memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka.
Prasarana menegaskan bahawa ia sudah menjalankan siasatan serta-merta ke atas insiden berkenaan.
Prasarana juga memohon maaf atas kejadian terbabit dan menjamin tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang di masa hadapan. – UTUSAN