MUAR: “Kadangkala dah tukar baju baharu tak sedap, tukar kasut baharu pula ketat. Rasa yang lama juga lebih selesa,” demikian kiasan diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar kenyataan berkaitan tempoh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terlalu lama.
Jelas beliau, adakalanya pembaharuan itu tidak perlu sekiranya kerajaan sedia ada stabil dan mampu menjaga kebajikan rakyat meskipun telah memerintah sejak lebih 60 tahun.
“Saya tahu ramai rakyat dahulu termakan dengan pembohongan mereka mengenai isu 1MDB, malah menjadikan modal bahawa kerajaan kita terlalu lama. Kita harus sedar adakala yang lama ini lebih stabil dan terbukti kerja-kerja mereka.
“Sebagai contoh saya sentuh di Johor, sepanjang dua pentadbiran Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu iaitu sebelum pimpinan di bawah Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, kedudukan negeri ini jatuh dari kedudukan pertama ke tangga ke-8. Apa mereka buat dalam manifesto yang diperkenalkan sebelum ini?” Soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan penduduk sempena majlis ceramah pilihan raya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sarang Buaya, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, di bawah pimpinan BN, segala manifesto dan keperluan rakyat akan dipelihara selain janji mereka untuk memastikan Johor kembali menjadi negeri pertama menerajui ekonomi negara seperti sebelum ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai serangan parti lain terhadap BN dalam tempoh berkempen di PRN Johor, beliau menegaskan, itu adalah perkara biasa sepanjang berkempen bagi tujuan mengelirukan pengundi.
“Perkara sedemikian sudah menjadi lumrah sama ada dalam mana-mana pilihan raya tak kira PRU, PRN mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) sekalipun. Kelumrahan itu hanya rakyat yang bijak sahaja dapat menentukan bahawa ia adalah satu serangan yang berbentuk fitnah,” katanya.
Beliau berkata, PRU-14 telah memberi pengajaran yang terlalu mahal bagi pengundi-pengundi yang melakukan kesilapan pada waktu itu.
“Maka tiba masanya untuk rakyat Johor kembali ke pangkal jalan dan moga-moga dengan meletak dan memartabatkan semula BN sebagai kerajaan yang didominasi oleh parti yang bertulang belakangkan BN.
“Kita tahu perjuangan UMNO dan parti-parti komponen lain ternyata jelas, ‘track record’ telah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk Johor sebelum PRU-14 dan itulah azam yang akan dilakukan oleh kerajaan baru di bawah pimpinan Datuk Seri Hasni,” katanya. – UTUSAN