Suspek samun warga emas ada 18 rekod lampau

Suspek samun warga emas ada 18 rekod lampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lelaki yang dipercayai terlibat kejadian samun warga emas di Bandar Tun Razak di sini, Sabtu lalu ditahan polis. 

Kedua-dua suspek berusia 29 tahun dan 35 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerusi tangkapan berasingan pada kelmarin dan semalam. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 35 tahun kira-kira pukul 12.15 tengah malam, Ahad lalu.

Menurutnya, suspek direman bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. 

“Susulan penahanan itu, seorang lagi suspek berusia 29 tahun turut ditahan pada 11 pagi, semalam.

“Turut dirampas barangan dipercayai digunakan dalam kejadian itu serta wang tunai RM5,300. Suspek direman bermula hari ini hingga Isnin ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Muhammad Idzam berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah. 

Ujarnya, polis memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang.

“ Polis Cheras juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang yang melanggar undang- undang. 

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai yang berdekatan,” katanya.

Sabtu lalu, tular video menunjukkan wanita warga emas disamun apabila barangan kemas dianggarkan bernilai RM20,000 dilarikan dua lelaki bersenjatakan parang. 

Kejadian itu turut dirakam orang awam serta tular dalam media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9 pagi apabila mangsa dan anaknya berada di luar rumah untuk ke kedai sebelum didatangi suspek menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN