TAWAU: Walaupun bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti namun, Parti Warisan (Warisan) akan memastikan rakan yang dipilih mempunyai nilai dan integriti dalam perjuangan.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekiranya perlu membentuk kerjasama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau akan menilai kepimpinan parti yang akan bekerjasama dengan mereka secara teliti.
“Kita lihat banyak pengajaran menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Sarawak dan suara-suara di peringkat akar umbi menyatakan jika kita berpecah, susah kita.
“Maknanya untuk berhadapan PRU15, kita terbuka dengan bekerjasama bagi memastikan mandat rakyat dikekalkan.
“Kita melihat bukan hanya kepentingan parti sema-mata tetapi juga, kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, di Dewan Serbaguna Kampung Hidayat, Batu 4 hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pada masa ini, Warisan bersifat terbuka dan tidak menolak untuk bekerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) mahupun parti-parti lain.
Namun, bukan bermakna apabila bekerjasama mereka kena tandatangan memorandum persefahaman (MoU) yang hanya akan melemahkan suara parti.
“Selepas PRU14, saya menolak bukan hanya peruntukan tapi juga, jawatan yang ditawarkan kerana bukan jawatan dan poket sendiri yang dipentingkan, saya pentingkan negara maka, kita serahkan sistem demokrasi kepada rakyat.
“Saya tak nak orang curi mandat rakyat lepas itu, kita sokong mereka. Kalau rakyat memilih kita alhamdulillah, kalau rakyat tidak pilih saya sebagai Ketua Menteri maka, tidak boleh paksa,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, apa yang penting pada masa ini adalah sistem pemerintahan negara dilihat tidak stabil hingga menyebabkan wujud ketidakyakinan bukan hanya dalam negara bahkan di luar negara.- UTUSAN










