KULAI: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, S. Suppayah berasa sangat beruntung setelah dibantu isterinya ketika turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Suppayah, 57, berkata, kehadiran teman hidupnya, Lee Sok Fong, 53, memudah dan melancarkan aktiviti berkempen menyantuni masyarakat Tionghua di kawasan itu setelah isterinya juga berbangsa Cina.
Ketua Bahagian MIC Kulai itu berkata, beliau terharu dengan pengorbanan Sok Fong yang sanggup bangun seawal pukul 5 pagi bagi membuat persiapan, sebelum mereka keluar berkempen bermula 7 pagi, setiap hari.
Suppayah akui sejak hari pertama berkempen sehingga kini, dia dan isterinya hanya tidur antara empat hingga lima jam sehari.
“Apabila saya beritahu isteri, saya dinamakan sebagai calon parti di Bukit Batu, dia sangat positif dan menyatakan kesungguhannya untuk membantu memenangi kerusi itu. Saya boleh memahami bahasa Mandarin namun tidak begitu baik dan kehadiran isteri membantu saya berkomunikasi dengan pengundi berbangsa Tionghua ketika berkempen.
“Dengan bantuan isteri, kelancaran aktiviti berjalan baik bagi menyantuni masyarakat kaum di kawasan tersebut dan menjadi kekuatan buat saya untuk terus berkempen,” katanya ketika ditemui semalam.
Pecahan jumlah pengundi di kawasan DUN Bukit Batu terdiri daripada penduduk berbangsa Cina seramai 24,771 orang diikuti Melayu (16,770 orang) dan India (3,790 orang).
Selepas seminggu berkempen, Suppayah memberitahu, beliau disambut baik masyarakat setempat yang cukup mengenalinya termasuk berbangsa Tionghua yang dilihat menyatakan sokongan mereka kepada BN.
Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) selama 12 tahun cakna mengenai masalah rakyat termasuk ketika negara diuji dengan pandemik Covid-19.
Sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat, beliau berhasrat menggerakkan semula perancangan pembangunan yang tergendala di kawasan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Terdapat pelbagai perancangan pembangunan tergendala sebelum ini diteruskan pelaksanaannya seperti Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex) di Sedenak setelah BN mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.
“Ia mampu menarik pelaburan asing dan domestik melibatkan syarikat berkaitan pengurusan data dan perkomputeran yang menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan,” ujarnya.
Suppayah menerima tentangan daripada calon Parti Warisan Sabah, Lee Ming Wen, Arthur Chiong Sen Sern (PKR) dan Tan Heng Choon (PN). – UTUSAN