Sumber air: Pulau Pinang mungkin guna teknologi nyah garam air laut - Utusan Malaysia

Sumber air: Pulau Pinang mungkin guna teknologi nyah garam air laut

PULAU Pinang mungkin menggunakan teknologi desalinasi (penyahgaraman) seperti yang dilaksanakan di Singapura untuk memanfaatkan jumlah air mentah tanpa had untuk masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang mungkin menggunakan teknologi desalinasi (penyahgaraman) seperti yang dilaksanakan di Singapura untuk memanfaatkan jumlah air mentah di negeri ini tanpa had untuk masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, PBAPP mengesyorkan desalinasi air laut di Pulau Pinang untuk memenuhi permintaan bekalan air mentah pada masa depan selepas 2030 susulan senario terkini Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

“Memandang ke depan, pengoperasian loji desalinasi di Pulau Pinang mungkin dilaksanakan secara berperingkat, bermula 2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 1 Mac lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang diketuai Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri Perak mengenai SPRWTS.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Perak memaklumkan tidak dapat membekalkan air mentah kepada kerajaan Pulau Pinang menerusi projek SPRWTS.

Menurut Jaseni, bekalan air adalah perkhidmatan awam penting yang memberi kesan kepada kehidupan kira-kira 1.776 juta orang di Pulau Pinang serta operasi beribu-ribu perniagaan.

“PBAPP telah merancang lebih awal untuk membantu Pulau Pinang menangani segala kemungkinan senario seperti senario SPRWTS terbaru ini. Lima projek utama Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) akan dimulakan dari tahun ini hingga 2028 demi memastikan PBAPP mampu memenuhi permintaan air yang semakin meningkat sehingga 2030,” katanya.

Tambahnya, PBAPP merancang menyiapkan dua projek naik taraf di Loji Rawatan Air Sungai Dua, membina dua loji rawatan air baharu berdekatan Empangan Mengkuang dan Sungai Muda; serta mula meneroka Sungai Perai sebagai sumber air mentah tambahan untuk Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN