IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat yang berpendapatan rendah dan miskin ditambah.
Baginda bertitah, langkah itu bagi memberi peluang lebih ramai rakyat berpendapatan rendah dan miskin memiliki rumah sendiri sekali gus membantu mengatasi atau mengurangkan kemiskinan.
“Demi kesejahteraan rakyat, menyediakan rumah dan membangunkan projek perumahan yang selesa dan mampu milik merupakan salah satu tanggungjawab utama kerajaan. Keupayaan rakyat berpendapatan rendah dan miskin memiliki rumah sendiri hendaklah dijadikan kayu ukur yang membuktikan sumber negara berjaya diagihkan secara bijaksana, adil lagi saksama.
“Untuk itu, pendirian tegas kerajaan beta tidak akan bertolak ansur dengan pemaju dalam memastikan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri, merupakan pendirian yang sangat bertepatan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, kerajaan Perak sebelum ini menyasarkan pembinaan 50,000 unit rumah mampu milik antara 2018 sehingga 2023.
Titah baginda, sasaran itu berjaya dicapai pada tahun lalu dengan 56,292 unit rumah mampu milik berjaya dibina iaitu 20,820 unit di bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak serta agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan sementara 35,472 unit lagi dibangunkan oleh pihak swasta.
Titah baginda, sehingga 16 Mac lalu, jumlah data kemiskinan yang didaftarkan dalam pangkalan data eKasih di Perak adalah seramai 162,177 ahli isi rumah.
Baginda bertitah, daripada jumlah itu, seramai 97,656 ahli isi rumah berstatus miskin manakala 64,521 isi rumah berstatus miskin tegar iaitu merupakan enam peratus daripada keseluruhan penduduk negeri.
“Dalam hasrat mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025, Kerajaan Persekutuan akan menggabungkan usaha dengan kerajaan negeri, swasta, pertubuhan bukan kerajaan berasaskan komuniti dan pihak-pihak lain dengan memberi fokus kepada pendidikan dan kesihatan. Lima lokaliti di daerah Hulu Perak, Kerian, Manjung dan Batang Padang telah dipilih dalam program rintis pembasmian kemiskinan,” titah baginda. – UTUSAN










