Sultan Muhammad V bangga prestasi kewangan Kelantan - Utusan Malaysia

Sultan Muhammad V bangga prestasi kewangan Kelantan

AHMAD Yaakob membaca Titah Ucapan Diraja Sultan Kelantan dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2022 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa bangga terhadap prestasi kewangan negeri ini yang menunjukkan pengukuhan serta masih berdaya tahan walaupun berdepan ekosistem ekonomi yang mencabar akibat pandemik Covid-19.

Titah baginda, pencapaian itu dicatat selama lima tahun berturut-turut oleh kerajaan negeri melalui dasar kewangan komprehensif telah berjaya mengawal perbelanjaan mengurus berdasarkan keutamaan perbelanjaan yang akan memberi impak terus kepada rakyat.

Sultan Muhammad V bertitah, antara yang dapat dilihat adalah pelaksanaan projek-projek ‘people-centric‘ seperti pembinaan atau pembaikian Rumah Dhuafat, bantuan Al-Musa’adah dan Rumah Mampu Milik (RMMK) di Badang.

“Beta ingin menzahirkan dan merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya mencapai prestasi akaun semasa 2021 dengan mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta berbanding 2020.

“Peningkatan perbelanjaan pembangunan setiap tahun melebihi RM152 juta memberikan gambaran kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah wang bagi perbelanjaan modal untuk kesejahteraan rakyat terutama kepada projek infrastruktur dan kemudahan asas,” titah baginda.

Titah Ucapan Diraja Sultan Kelantan itu dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di sini hari ini.

Sultan Muhammad V bertitah, usaha melaksanakan pembangunan infrastruktur yang sempurna perlu diteruskan kerana ia merupakan nadi kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri.

“Pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai dan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dapat mewujudkan rangkaian lebuh raya menyeluruh yang bertindak sebagai tulang belakang kepada sistem pengangkutan wilayah pantai timur Semenanjung.

“Beta turut berharap Bandar Tok Bali juga diberi fokus oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan supaya ia menjadi pusat perkembangan industri dan pelabuhan.

“Pada waktu yang sama, beta melihat perkembangan bandar-bandar baharu seperti Bandar Islamik di Tunjong, Bandar Sukan di Bukit Merbau, Bandar Industri IBS di Machang dan Bandar Perabot di Gua Musang juga sudah dapat direalisasikan pembangunannya oleh kerajaan negeri,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN