PUTRAJAYA: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Kementerian Dalam Negeri ((KDN) mengkaji semula Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
Jurucakapnya, Azura Nasron berkata, Pelan Tindakan Kebangsaan (NAP) harus menggunakan pendekatan kolaboratif antara kerajaan dan organisasi masyarakat sivil (CSO), selaras dengan semangat ‘semua kerajaan’ dan ‘semua masyarakat’ seperti dinyatakan dalam resolusi 70/674 (2015) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Beliau berkata, isu keselamatan tidak lagi boleh dimonopoli oleh kerajaan sahaja apabila mengambil kira ancaman ekstremisme agama-politik yang sentiasa berubah di Malaysia dan rantau ini.
Justeru, ujarnya, adalah mustahil untuk kerajaan menangani ancaman tersebut tanpa bantuan daripada CSO di Malaysia.
“CSO mempunyai kepakaran dan kemahiran bernuansa berkaitan dengan advokasi akar umbi termasuk isu libat sama golongan belia, wanita dan komuniti minoriti.
“Ini adalah penting sebagai langkah pencegahan terhadap ekstremisme ganas dan tanpa kekerasan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum di KDN di sini hari ini.
Memorandum berkenaan diserahkan kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat KDN, Rizal Hashim.
Tambah Azura, mandat untuk membangunkan NAPPCVE atau NAP adalah diperoleh daripada UNGA pada 2015 untuk menangani perubahan ancaman bagi ekstremisme ganas.
Katanya, pada 22 Disember tahun lalu, satu perundingan bebas mengenai NAPPCVE telah dianjurkan oleh Inisiatif untuk Menggalakkan Toleransi dan Mencegah Keganasan (INITIATE.MY) dengan lebih 25 wakil CSO untuk mengumpulkan pandangan serta cadangan mengenai proses penggubalan NAPPCVE.
“Para peserta bersetuju bahawa proses NAP harus menjadi batu loncatan kepada pihak kerajaan untuk menunjukkan komitmen jujur mereka dalam menangani ekstremisme dan pertanggungjawaban yang besar dalam bidang keselamatan.
“Tambahan pula, peranan CSO adalah penting dalam sebum proses demokratik seperti pembangunan NAP untuk menjadikan pendekatan tersebut sesuai dengan keadaan setempat dan menjamin keberlangsungan impak-impak untuk menangani ekstremisme ganas,” jelasnya.
Katanya lagi, sekiranya tiada maklum balas dari kerajaan mengenai memorandum yang dikemukaan, pihaknya akan meneruskan lagi usaha agar perkara itu diambil tindakan. -UTUSAN










