ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengesahkan pernah menerima maklumat berkaitan dakwaan salah laku rasuah membabitkan pembinaan asrama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil, dekat sini.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, bagaimanapun, maklumat yang diterima SPRM itu bukan berupa laporan rasmi.
“Maklumat tersebut diterima sekitar Februari lalu. Semakan awal kemudian dijalankan namun didapati tiada kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM setakat ini.
“Begitupun SPRM Kedah akan menghubungi beberapa pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan pembinaan asrama di universiti tersebut tampil segera membuat laporan kepada SPRM.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr. Salmee Said pada persidangan DUN itu kelmarin, meminta penjelasan Muhammad Sanusi mengenai dakwaan sebuah syarikat kontraktor yang perlu membayar sebanyak RM4 juta melalui konsultan universiti berkenaan bagi mendapatkan tender pembinaan asrama universiti itu.
Mengulas lanjut, Shaharom Nizam memberitahu, SPRM mengalu-alukan mana-mana pihak yang memiliki keraguan atau bukti mengenai penyelewengan tersebut untuk membuat laporan rasmi.
“Sekiranya terdapat bukti dan maklumat berkaitan, sesiapa pun boleh datang untuk membuat laporan dan mengemukakannya kepada kami,” katanya. – UTUSAN