SEREMBAN: Negeri Sembilan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi masjid dan surau dalam masa terdekat berikutan pengumuman kerajaan yang membenarkan aktiviti solat berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal bermula 1 April.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beberapa perkara dalam SOP tersebut kini dalam perincian selain menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebelum ia diumumkan.
“(Ia) akan diumumkan dalam masa terdekat, insya-Allah, menunggu perkenan daripada Tuanku (Muhriz). Rapat atau tidak belum tahu bagaimana.
“Kalau rapat, ada caranya bukan rapat seperti dahulu. Kita ada cara, rapat tidaklah sampai satu sejadah digunakan untuk dua orang, satu sejadah satu orang, ia digunakan di negeri lain pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2021 di sini hari ini.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April susulan fasa peralihan ke endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Sementara itu, mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH), Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan menyifatkan ia mesej jelas kepada anggota PH untuk memperbaiki dan memperkuatkan semula parti itu.
“Saya rasa kita kena respons kepada perkara tersebut selain melihat berkenaan orang yang tidak keluar untuk mengundi. Bagi saya penting untuk kita beri kesedaran supaya demokrasi harus disuburkan kembali supaya politik tidak dilihat membosankan yang akhirnya merugikan negara,” katanya. – UTUSAN