SEREMBAN: Jabatan Pertanian telah membangunkan Sistem GeoTanaman bagi memperkasakan ekonomi usahawan tani khususnya dalam menyediakan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berkata, sistem itu dapat membantu usahawan tani meneruskan aktiviti pertanian dan memasarkan hasil pertanian dengan lebih efisen.
“Sistem ini menggunakan konsep service oriented architecture yang boleh dicapai melalui web dan ‘mobile’ atau menggunakan telefon pintar.
“Sesuai dengan trend sekarang semua perkara di hujung jari justeru sistem ini juga boleh diakses menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan maklumat tanaman makanan negara malah kita boleh mengurus dan menganalisis maklumat serta data guna tanah bagi keseluruhan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Sistem GeoTanaman Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Menurut Zahimi, Sistem GeoTanaman diwujudkan bagi mengatasi masalah lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan pada masa sama mengatasi kemasukan sayur dan buah-buahan import.
“Semua maklumat ladang dan petani-petani di seluruh Semenanjung Malaysia turut kita petakan secara digital dalam sistem ini.
“Jabatan Pertanian menjadi pemangkin dan pemudahcara kepada peningkatan hasil tanaman makanan negara untuk menembusi pasaran luar melalui analisis pengeluaran secara spesifik di lokasi ladang, perancangan penanaman dan pengeluaran berdasarkan permintaan tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, seramai 1,200 orang petani di Semenanjung Malaysia disasarkan untuk menggunakan sistem ini menjelang bulan Jun nanti, selain semua pemain industri dalam sektor tanaman makanan termasuk pemborong, kedai input baja dan racun amat dialu-alukan untuk mendaftar sistem tersebut.
“Usahawan tani diharapkan dapat menyokong dan memanfaatkan sistem ini dengan khidmat sokongan daripada Pegawai Pertanian Daerah dan Agen Pengembangan Tanaman (APT) di daerah,” katanya. – UTUSAN










