SHAH ALAM: Kegiatan penipuan satu sindiket penawaran dan pembelian barangan tidak wujud secara atas talian tumpas apabila premis mereka digempur polis di sekitar Subang Jaya, kelmarin.
Sindiket itu dipercayai menjadikan sebuah rumah kedai sebagai pusat panggilan untuk menjalankan aktiviti haram tersebut.
Helah itu bagaimanapun terbongkar apabila diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya yang turut menahan empat individu berusia 20 hingga 34 tahun, kira-kira pukul 1 petang.
Ketua JSJK negeri, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai aktiviti haram tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati ia melibatkan penawaran dan pembelian pelbagai barangan tidak wujud secara dalam talian dengan harga lebih murah.
“Dalam serbuan itu, seramai empat suspek warga asing termasuk dua wanita berjaya diberkas di lokasi tersebut.
“Kesemua tangkapan merupakan pekerja operator yang mengendalikan pusat itu dengan mensasarkan mangsa tempatan dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Azman, pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk 11 komputer riba dan 10 telefon bimbit untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan denda,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan barangan dalam talian pada harga murah berbanding pasaran.
“Masyarakat diminta mengambil langkah berhati-hati dengan menyemak latar belakang penjual dan harga sebenar pasaran barangan yang ditawarkan itu,” katanya. – UTUSAN