fbpx

Sikap belia pilih kerja, tumpu kolar putih, glamor

KEBANYAKAN rakyat Malaysia hanya berminat melakukan kerja-kerja peringkat akhir dalam sektor pembinaan seperti mengecat.

PETALING JAYA: Sikap golongan belia yang memilih kerja dan hanya tertumpu kerja kolar putih dan glamor menyumbang kepada tenaga kerja kritikal dalam pelbagai sektor terutamanya pembinaan.

Hal itu menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing walhal golongan belia di negara ini cukup ramai.

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, sektor pembinaan kini kurang pekerja kerana lebih banyak bergantung kepada warga asing kerana sukar mendapatkan buruh tempatan.

Menurutnya, golongan belia lebih memilih bekerja sebagai penghantar makanan atau p-hailing memandangkan ekonomi gig tersebut semakin meriah dengan kemunculan pelbagai syarikat kurier di dalam industri itu.

“Saya harap lebih ramai warga tempatan masuk ke dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar), tetapi, realitinya kurang daripada mereka yang minat untuk bekerja dalam sektor itu disebabkan pelbagai alasan seperti tidak tahan panas.

“Untuk menarik minat memang amat sukar, bahagian pendidikan seperti yang mengajar teknikal pelajarnya bukan nak bekerja selepas tamat pengajian tetapi sebaliknya mereka pergi ke akademi tersebut untuk mengisi masa lapang dan mendapatkan elaun.

“Saya sendiri sudah cuba rekrut mereka, golongan terlalu muda ini berminat untuk bermain. Kalau nak bawa mereka bekerja, kena bawa kawan dia sekali. Bila ada kawan pula mereka bermain. Jadi tidak sampai hala tuju selepas kita latih mereka jadi buruh binaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, ketika sektor pembinaan negara kekurangan pekerja yang serius, rakyat tempatan pula gagal mengisi kekosongan itu, sebaliknya mereka lebih minat melakukan kerja tukang cat.

Tukiman berkata, setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh masa lama, majoriti pekerja asing kembali ke negara mereka dan sukar untuk kembali bekerja kerana terdapat sekatan daripada pihak berkuasa.

Jelasnya, kerajaan boleh mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dengan melonggarkan permohonan membawa pekerja asing atau memberi inisiatif kepada warga tempatan bagi memupuk minat.

“Jika kerajaan boleh beri inisiatif untuk gaji yang bagus dan berbaloi, contohnya rata-rata syarikat membayar buruh warga asing RM100 sehari, mungkin kerajaan boleh diberi inisiatif kepada warga tempatan untuk menarik minat untuk bekerja sebagai buruh binaan,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!