Siasatan kes konvoi kereta mewah hampir lengkap - Ketua Polis Johor

Siasatan kes konvoi kereta mewah hampir lengkap – Ketua Polis Johor

WARTAWAN sambilan Utusan Malaysia, Khairul Mohd. Ali menerima surat penghargaan daripada Kamarul Zaman Mamat sempena Hari Polis ke-215 di IPK Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengambil keterangan seramai 11 individu yang terlibat dalam isu konvoi kereta mewah yang menghalang laluan di Kilometer 34 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara yang turut diambil keterangan ialah pemandu kenderaan Ford Ranger yang merupakan seorang wanita berusia 28 tahun.

Katanya, siasatan berhubung kes berkenaan hampir selesai dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk langkah selanjutnya.

“Berhubung kes melibatkan konvoi kenderaan mewah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu, kita sudah selesai mengambil keterangan kesemua pihak terlibat.

“Buat masa ini siasatan dijalankan melibatkan tiga elemen iaitu kerana merusuh, menghalang lalu lintas dan pemandu pacuan empat roda berkenaan ada buat laporan polis mengatakan dia dipukul serta ditumbuk, itu pun kita siasat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program sempena Peringatan Hari Polis ke-215 yang diadakan di Dataran Kawad, Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Johor.

Baru-baru ini, tular satu video berdurasi satu minit 14 saat dalam media sosial memaparkan sebuah Ford Ranger dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah Lamborghini berhampiran susur keluar Sedenak.

Pemandu Ford Ranger dipercayai cuba memotong konvoi Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah kereta mewah tersebut ketika cuba memasuki lorong kiri.

Disebabkan pelanggaran itu, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati lalu menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya dan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Sementara itu, berhubung majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin mendahului senarai 90 penerima surat penghargaan yang diberikan kepada pegawai, anggota, kakitangan am dan  orang awam.

Antara yang turut menerima surat penghargaan tersebut ialah seramai 10 petugas media daripada pelbagai agensi berita tempatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN