LANGKAWI: Sepasang kekasih warga tempatan antara tiga yang ditahan kerana memiliki dadah bernilai RM73,600 dalam satu serbuan di sebuah rumah di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, serbuan di rumah yang terletak di Kampung Huma, Ayer Hangat di sini itu dilakukan pada pukul 5 petang.
Menurutnya, semasa serbuan, salah seorang suspek lelaki berusia 36 tahun ditahan di luar rumah manakala seorang lelaki berusia 27 tahun dan pasangannya, 41 tahun ditahan di dalam rumah tersebut.
“Pemeriksaan secara menyeluruh ke atas rumah berkenaan menemukan dadah disyaki jenis heroin dan syabu dalam sebuah bilik di rumah tersebut.
“Pihak polis merampas beg galas berwarna kelabu mengandungi 10 paket plastik lutsinar yang berisi ketulan atau serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 4082.41 gram (g),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut merampas satu beg plastik bercorak kartun berwarna putih dan hitam yang mengandungi 15 paket plastik lutsinar yang berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat sebanyak 775.96g.
Menurutnya, anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM53,600 bagi dadah jenis heroin dan RM20,000 bagi dadah jenis syabu yang dirampas.
“Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Honda City yang bernilai RM35,000, alat pengedap plastik dan penimbang berat,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kesemua suspek didapati positif methamphetamine dalam ujian air kencing dan mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN