Selesai kes bunuh kurang enam jam kenangan manis Sarjan Mejar - Utusan Malaysia

Selesai kes bunuh kurang enam jam kenangan manis Sarjan Mejar

RAMLI Juri menunjukkan surat penghargaan yang diterimanya sempena Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat IPD Tampin, di sini hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Berjaya menyelesaikan satu kes bunuh kurang  enam jam antara pengalaman tidak boleh dilupa  Sarjan Mejar Ramli Juri, 60, sepanjang lebih 40 tahun perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ramli berkata, kejadian tersebut berlaku pada tahun 2001 ketika beliau bertugas sebagai Ketua Balai Polis Gemencheh di sini.

“Kejadian berlaku di pekan Gemencheh dan saya masih ingat ketika saya membuat rondaan kira-kira pukul 3 pagi, saya ternampak seorang lelaki mencurigakan berjalan kaki.

“Saya dapat mengecam wajahnya dan tiga jam selepas itu saya terima laporan terdapat seorang lelaki mati dan sekitar pukul 8 pagi suspek  sudah berjaya ditangkap.

“Ketika disoal siasat, suspek membuat pengakuan berlaku salah faham sehingga suspek bertindak mengambil batu dan menghempap batu berkenaan ke kepala si mati,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, di sini hari ini.

Ramli antara 193 orang individu yang menerima surat penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab.

Ramli yang berkhidmat dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tampin juga menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara di bawah Kontinjen Negeri Sembilan pada Selasa lalu.

Beliau yang memulakan perkhidmatan pada tahun 1982 dengan pangkat Konstabel berharap,  semua pegawai dan anggota yang masih dalam pasukan  terus berkhidmat dengan cemerlang.

“Terus kekal berdisiplin, jangan melawan dan sentiasalah mengikut arahan ketua,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN