SHAH ALAM- Pasukan Selangor Lion berjaya menjadi johan Kejohanan Malaysia Volleyball League 2022 dengan menewaskan pasukan Sabah Rhino dengan mata 3- 0.
Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, kemenangan tersebut membolehkan pasukan tersebut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan medal.
“Pasukan Sabah Rhino sebagai Naib Johan telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.00 dan medal.
“Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Putrajaya Hawk dan menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan medal serta tempat keempat dimenangi oleh Pasukan Bomba Dragon yang menerima hadiah wang tunai RM4,000. Hadiah keseluruhan yang ditawarkan adalah RM42,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MBSA juga menyasarkan kejohanan ini untuk mencungkil bakat baru di dalam sukan bola tampar untuk diketengahkan di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. Yang hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor dan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow.
Shahrin berkata, matlamat penganjuran kejohanan tersebut adalah untuk melahirkan generasi belia yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan.
“Selain itu, kejohanan ini juga turut menggalakkan gaya hidup sihat pasca Covid-19 serta platform untuk memperkenalkan bandar raya Shah Alam sebagai sebuah bandar raya sukan,”katanya.
Jelasnya lagi, kejohanan yang diadakan dengan kerjasama MBSA dan MAVA bermula 8 Mac sehingga 13 Mac lalu di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, Shah Alam.
Kejohanan terbabit merupakan kejohanan peringkat kebangsaan melibatkan penyertaan pasukan dari dalam negara yang terdiri daripada 8 pasukan jemputan iaitu pasukan Selangor, Johor, Sarawak,Sabah,Kuala Lumpur, Putrajaya Anggota Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kejohanan turut melibatkan penyertaan pemain dari luar negara bagi setiap pasukan. – UTUSAN