SHAH ALAM: Selangor meraih pulangan pelaburan dalam sektor ekonomi digital atau pendigitalisasi melepasi sasaran dua tahun berturut-turut iaitu RM2.34 bilion pada 2020 dan RM2.25 bilion (2021).
Hasil tersebut adalah pelaburan sekitar RM600 juta dibuat dalam tempoh dua tahun berkenaan yang turut disumbang oleh anak syarikat kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan dasar pendigitalisasi di Selangor.
Pulangan itu juga berdasarkan peluang dan nilai pasaran secara dalam talian atau digital berjumlah sehingga RM900 bilion seperti dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Digital Ekonomi dan Teknologi Maklumat Selangor (SIDEC), Yong Kai Ping.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pulangan tersebut dalam dasar digitalisasi menunjukkan Selangor mampu berdaya tahan ketika berdepan pandemik.
“Kalau hendak kira semua, saya rasa dalam tempoh dua tahun sahaja, 2020 hingga 2021, kita peruntukkan dalam RM600 juta, saya ingat dengan mudah kita belanja hampir RM450 juta keseluruhannya termasuk MBI, PBT dan sebagainya.
Tetapi, bukan hanya daripada dana kerajaan negeri, sebab ia juga datang daripada anak syarikat, MBI dan PBT sebagai contoh juga melaburkan untuk tujuan itu, dana kerajaan mungkin dalam RM15 juta ke RM20 juta sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Presiden dan Naib Canselor, Universiti Selangor (Unisel), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman dengan wakil The Hive Asia Tenggara, Angel Low di Bangunan Sultan Salahahudin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini.
MOU tersebut sebelum ini ditandatangani oleh Redzuan dan Pengarah Urusan The Hive Asia Tenggara, Datuk Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Syed Anwar Jamallulail untuk melancarkan platform Sekolah Digital Selangor (SDS).
Amirudin menambah, pendigitalisasi yang sedang dilaksanakan di Selangor berada pada landasan yang betul dan mampu mencapai sasaran Selangor negeri dan bandar pintar pada 2025.
Sementara itu, Kai Ping berkata, dengan penubuhan institusi pengajian SDS, kursus-kursus berkaitan digitalisasi yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja dapat ditawarkan pada harga berpatutan serta mendapat pengesahan daripada Institusi Pengajian Tinggi (Unisel).
“Sektor ekonomi digital negara memerlukan lebih kurang 1.5 juta bakat digital, namun pada ketika ini pasaran hanya mempunyai 50 peratus bakat dalam kemahiran sektor ekonomi digital.
“Diharapkan melaluiٍ SDS, lebih banyak bakat dan pekerja mahir dalam bidang digital dapat dillahirkan untuk mengurangkan jurang pasaran pekerjaan dalam bidang ekonomi digital. Kelak, SDS akan menjadi pusat dan platform untuk ekosistem bakat digital berkemahiran tinggi,” ujarnya. – UTUSAN










