Seks, dadah: 197 remaja ditahan di Kelantan sepanjang 2021

Seks, dadah: 197 remaja ditahan di Kelantan sepanjang 2021

SHAFIEN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 197 remaja bawah 18 tahun di negeri ini ditahan kerana terlibat dalam kes berkaitan jenayah seks seperti rogol dan sumbang mahram serta penyalahgunaan dadah dan ketum sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu, 100 individu terlibat kes rogol dan sumbang mahram, dengan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding 2020 yang merekodkan 84 individu.

Katanya, baki 97 lagi remaja pula ditahan kerana terlibat dengan kes dadah terutama pil kuda dan syabu serta ketum.

“Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini melibatkan kes rogol dan sumbang mahram.

“Remaja berusia 10 hingga 18 tahun berada pada fasa perkembangan ke alam dewasa. Jadi, timbul sikap ingin mencuba ketika mereka mengalami perubahan fizikal, jasmani, sosial dan emosi,” katanya selepas merasmikan Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial Remaja Peringkat Kontinjen Kelantan 2022 di Balai Polis Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, golongan remaja perlu dibimbing oleh semua pihak agar mereka tidak hanyut berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan.

“Masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana remaja adalah tonggak kepemimpinan negara pada masa akan datang. Kita berharap ada usaha dan kerjasama semua pihak untuk menangani isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN