PETALING JAYA: Penyertaan syarikat pertahanan Rusia dan Belarus dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022 perlu digantung sebagaimana dilakukan badan antarabangsa lain.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, langkah tersebut wajar bagi mengelakkan persepsi dalam kalangan negara lain.
Katanya, tindakan tersebut juga dilaksanakan bagi mematuhi sekatan dikenakan dan menunjukkan solidariti bersama Ukraine dalam mencari penyelesaian yang adil.
“Kalau syarikat dari Rusia dikenakan sekatan ekonomi mana-mana negara, seharusnya kita juga tidak benarkan syarikat ini menyertai pameran DSA. Kalau kita benarkan juga, ia menimbulkan naratif.
“Paling penting persepsi masyarakat antarangbangsa dan negara lain terhadap Malaysia.Justeru, sebaik-baiknya sekat syarikat Rusia untuk elakkan persepsi (negatif) ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia akan mendapatkan nasihat Kementerian Luar berhubung penyertaan pempamer dari Rusia atau Ukraine pada DSA dan NATSEC 2022 nanti.
Tambah Azmi, Malaysia tidak perlu mengadakan perjumpaan atau penjelasan kepada Duta Rusia bagi menjelaskan sebarang tindakan terhadap negara itu.
Dalam pada itu, Pensyarah hubungan antarabangsa, pertahanan dan keselamatan Universiti Malaya (UM) , Dr. K.S Balakrishnan berkata, hubungan Malaysia dan Rusia sangat penting terutama dalam aspek pertahanan negara.
Katanya, sekiranya penyertaan Rusia digantung dalam DSA dan NATSEC 2022, ia bakal menyebabkan implikasi kepada pembekalan peralatan komponen pesawat pejuang yang digunakan Malaysia.
“Pada saya tidak perlu disekat atau digantung penyertaan Rusia kerana hubungan kira adalah neutral dan fleksibel.Malah kita ada hubungan baik serta mempunyai kepentingan dasar luar negara yang sama,” ujarnya. – UTUSAN