PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ketidakhadiran ahli Parlimen kerajaan kerana bersangka baik terhadap Pakatan Harapan (PH) tidak bertindak seperti mana yang terjadi tempoh hari sekali gus menggagalkan usul lanjutan Subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Beliau berkata, tindakan itu kerana percayakan persefahaman PH berlandaskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH yang ditandatangani sebelum ini.
“Saya mendapat maklum balas bahawa PH menyalahkan ahli Parlimen bukan PH kerana tidak ada dalam Dewan Parlimen. (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Fahmi Fadzil siap masuk dalam Facebook memberitahu hal ini.
“Untuk pengetahuan Yang Berhormat Fahmi Fadzil saya dan rakan-rakan wakil rakyat lain cuba berbaik sangka bahawa PH tak akan bertindak sedemikian kerana terlalu percaya persefahaman bersama PH sudah diikat kemas. Tidak ada apa yang dirisaukan.
“Namun umpama harapkan pagar, maka makan padi. Harapkan sokongan PH, sokong membawa rebah. Itulah berlaku di Dewan Rakyat tempoh hari. Semoga kita semua belajar daripada episod ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma untuk tempoh lima tahun lagi gagal dipertahankan selepas keputusan hasil undian belah bahagi menunjukkan hanya 84 ahli Parlimen menyokong, manakala 86 ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 lagi tidak hadir.
Selain Ahmad Zahid, antara Ahli Parlimen didakwa tidak hadir ketika itu adalah Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak), Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan). – UTUSAN