REMBAU: Jabatan Perikanan negeri menyasar melepaskan kira-kira 300,000 benih ikan air tawar dan udang galah dengan anggaran peruntukan hampir RM50,000 ke perairan umum di negeri ini, tahun ini.
Pengarahnya, Kasim Tawe berkata, program pelepasan benih ikan dan udang galah itu membabitkan lokasi sungai yang menjadi tumpuan nelayan serta kaki pancing seperti di Sungai Kenaboi, Jelebu, Sungai Muar, Tampin dan Sungai Rembau.
Menurutnya, menerusi program itu juga, ia dapat memberikan kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat bagi mengelak kepupusannya.
“Tahun lalu hampir 300,000 benih ikan serta udang galah telah kami lepaskan. Tahun ini pula, kami sudah melepaskan kira-kira 65,000 benih ikan. Kami melaksanakan program ini secara berterusan melalui hasil Kajian Inventori Sungai terutama di sungai-sungai tumpuan bagi memastikan stok ikan darat sentiasa ada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negara dan Demonstrasi Produk Perikanan, di Pengkalan Nelayan Sungai Timun, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kasim menasihatkan orang ramai yang mencari rezeki di sungai supaya menggunakan jenis peralatan menangkap ikan yang betul dan mesra alam supaya tidak menyebabkan sebarang kemusnahan habitat dan sumber perikanan. – UTUSAN