GEORGETOWN: Malaysia menyasarkan mencapai penilaian Tier 1 atau Tier 2 dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dalam Laporan-Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (Us Tip Report) 2021.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pada masa ini Malaysia berada pada kedudukan Tier 3 dan usaha sedang dijalankan untuk mencapai sasaran berkenaan dalam tempoh terdekat.
“Kita sedang berusaha meningkatkan kedudukan dari Tier 3 kepada Tier 2 atau Tier 1.
“Usaha untuk mencapai sasaran berkenaan akan dijalankan dengan kerjasama agensi di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara dan lain-lain agensi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Pendakwaan dan Penguatkuasaan ATIPSOM antara Jabatan Peguam Negara dan Agensi-agensi Penguatkuasaan Tahun 2022.
Sebelum ini, AS menurun taraf kedudukan Malaysia sebagai ‘Tier 3’, dalam Laporan-Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (Us Tip Report) 2021.
Menurut laporan itu, Kerajaan Malaysia tidak memenuhi standard minimum berdasarkan Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (TVPA) AS.
Dalam perkembangan lain, Abd. Jalil berkata, bagi kesalahan jenayah pemerdagangan orang pada 2021, sebanyak 112 serbuan dijalankan melibatkan tangkapan seramai 228 orang.
“Hasil serbuan yang dijalankan berjaya menyelamatkan seramai 448 orang serta memperoleh Perintah Perlindungan Sementara (IPO), daripada jumlah tersebut seramai 119 orang telah memperoleh Perintah Perlindungan (PO),” katanya.
Selain itu tambah beliau, setakat Januari tahun ini, sebanyak 13 serbuan dijalankan dengan tangkapan seramai 19 orang manakala dalam operasi tersebut seramai 37 orang telah diselamatkan serta memperoleh IPO.
“Bagi kesalahan jenayah penyeludupan migran, pada 2021 sebanyak 217 serbuan telah dijalankan dengan jumlah tangkapan penyeludup seramai 378 orang dan seramai 1,873 migran.
“Bagi tahun ini setakat Januari lalu, sebanyak 24 serbuan telah dijalankan dengan tangkapan penyeludup seramai 44 orang dan seramai 231 migran,” katanya.
Tambahnya, menerusi Ops Benteng yang dijalankan sebelum ini, pihaknya mendapati antara migran yang menceroboh pintu sempadan negara adalah dari Indonesia dan pelarian Rohingya serta mereka menggunakan jalan laut.
“Ketika pandemik ini, pintu sempadan negara ditutup dan ramai yang memasuki negara melalui lorong tikus di kawasan laut, jadi kami ingin nasihatkan supaya jangan cuba nasib memasuki Malaysia dengan cara tidak sah,” katanya. – UTUSAN