TEMERLOH: Pengusaha agropelancongan Sarang Naga 76 di Kampung Ketam, Kuala Krau di sini mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap bencana alam dengan menawarkan pakej pelancongan pada musim banjir.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pengusahanya, Saiful Ridzuan Abu Bakar, 43, berkata, boleh dikatakan hampir setiap tahun tempat tinggalnya di Kampung Ketam dilanda banjir, malah pada tahun lalu, dua kali kawasan ini dilanda banjir.
“Perkara ini sudah menjadi kebiasaan buat penduduk dan mereka sememangnya sudah bersedia untuk berhadapan dengan musibah banjir, malah, ada ketika ia seakan suatu pesta dengan orang ramai berkumpul untuk bermain air,” katanya di sini semalam.
Justeru katanya, dia bercadang memanfaatkan musim banjir dan menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan Sarang Naga 76 yang diusahakan bersama rakan baiknya, Mazlan Omar, 56, sejak dua tahun lalu.
“Saya memang tahu dari awal kawasan kami bina ini memang akan dinaiki air, jadi, kami fikirkan penyelesaian dengan menjadikan ia sebagai salah satu tarikan pelancongan tanpa mengubah apa jua bentuk struktur bumi di sini.
“Meskipun telah mengalami kerugian sekitar RM150,000 pada tahun lalu kerana terpaksa melepaskan beberapa ekor unggas yang diimport di mini zoo kami, kami tidak menyalahkan bencana sebaliknya menerimanya sebagai kehendak alam semula jadi,” katanya.
Menurutnya, mereka kini dalam proses membina rumah pokok dengan memanfaatkan pokok yang berusia ratusan tahun yang akan dijadikan tempat penginapan.
“Sudah tentulah kami telah memikirkan kesemua faktor keselamatan untuk menjamin keselesaan pengunjung dan dalam masa sama kami mahu memberikan pendidikan kepada pengunjung terhadap alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, dia akan memanfaatkan sepenuhnya persekitaran Sarang Naga 76 yang dianggarkan berkeluasan sekitar empat hektar itu. – UTUSAN