Runtuhan kuari: Lima dron gagal kesan kedudukan mangsa

Runtuhan kuari: Lima dron gagal kesan kedudukan mangsa

ANGGOTA STORM melakukan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Ipoh, Perak, hari ini. - IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Usaha pasukan penyelamat menggunakan lima unit dron bagi mengesan kedudukan dua mangsa runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, menemukan jalan buntu.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, dron Unit Udara JBPM Perak yang dilengkapi teknologi pengimbas itu mampu mengesan suhu badan mangsa yang tertimbus runtuhan pada kedalaman sembilan ke 12 meter.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada petunjuk positif dalam operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang memasuki hari ketiga.

“Pada operasi semalam, kita terbangkan empat dron namun tiada petunjuk kesan haba daripada mangsa yang tertimbus. Hari ini kita cuba lagi satu dron, namun belum menjumpai kedudukan kedua-dua mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi hari ini membabitkan kerja-kerja pengalihan bongkah batu yang besar namun terpaksa ditangguhkan sementara ekoran hujan lebat pada sebelah pagi.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak baik itu menyebabkan berlaku runtuhan bongkah-bongkah batu kecil dan gelungsuran tanah.

“Berdasarkan penilaian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang menyatakan (runtuhan batu kecil dan gelungsuran tanah) adalah petanda awal berlaku runtuhan yang besar. Hasil perbincangan dengan pihak polis, JMG dan pemilik kuari, proses mengalihkan bongkah di sektor yang ditetapkan hanya boleh dilakukan pada pukul 4 petang. Ini berdasarkan penilaian risiko oleh JMG,” katanya.

Beliau memberitahu, selepas proses pengalihan bongkah besar selesai, pihaknya akan menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba ke lokasi terakhir dua mangsa itu berdasarkan keterangan rakan yang terakhir bersama mereka.

“Sekiranya cuaca baik dan bongkah dialihkan, K9 boleh masuk untuk mengesan mangsa. Bagaimanapun, operasi akan dihentikan serta merta sekiranya hujan,” katanya.

Dalam pada itu, Aidil Adlee menjelaskan, pasukan penyelamat akan memikirkan kaedah lain jika usaha mengalihkan bongkah batu tersebut tidak berjaya.

Katanya, antara langkah terakhir dengan menggunakan kaedah memecah bongkah besar tersebut kepada bentuk yang lebih kecil.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi semalam, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN