SHAH ALAM: Seramai 328 usahawan tidak formal dan mikro dari Parlimen Shah Alam, Kota Raja, Puchong dan Klang yang menjadi mangsa banjir pada Disember lalu di negeri ini menerima bantuan RM3,000 setiap orang.
Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM50 juta yang diperuntukan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) turut akan diperluaskan kepada mangsa banjir gelombang kedua di Kelantan dan Terengganu.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, berdasarkan rekod terdapat 4,000 kuota lagi daripada 16,666 peniaga yang terkesan banjir diperuntukkan sebelum ini bagi gelombang pertama.
“Kita akan selesaikan usahawan bagi gelombang pertama BBKM ini pada bulan ini.
“TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan mengesan usahawan mereka yang terlibat dan permohonan secara online juga boleh dilakukan oleh kumpulan usahawan yang tidak bernaung dibawah agensi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan geran one-off kepada usahawan mangsa banjir.
Beliau juga menyerahkan sumbangan zakat kepada 134 usahawan asnaf berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor. Setiap seorang daripada mereka menerima RM2,000 dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff.
Dalam pada itu, Noh turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara supaya lebih bertimbang rasa terhadap peniaga tidak berlesen yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan banjir.
Menurutnya, PBT tidak patut mengambil tindakan seperti saman peniaga yang tidak berlesen dan dalam masa sama adalah wajar jika memberikan moratorium kepada usahawan sedemikian.
“Geran yang dapat habis bayar saman pula, apa maknanya kerajaan tolong. Kita minta PBT seluruh negara khususnya Selangor bagi moratorium sikit, waktu bertenang dulu. Macam saya sebagai menteri telah arahkan Tekun, AIM dan Bank Rakyat dalam tempoh enam bulan, jangan ambil tindakan.
“Kita hendak bangkitkan semula usahawan ini. Jadi, kita sudah berikan sumbangan geran RM3,000 sebagai contoh untuk berniaga tetap dikenakan saman PBT,” tegasnya. – UTUSAN