GEORGETOWN: Masalah kekurangan pekerja di restoran nasi kandar di negeri ini berlarutan sehingga menyebabkan pemilik restoran terpaksa menjadualkan semula waktu berbuka dan bersahur sepanjang Ramadan di samping mengurangkan menu makanan.
Difahamkan, beberapa restoran nasi kandar di negeri ini akan memulakan operasi di restoran masing-masing pukul 3 petang hingga 10 malam bagi waktu berbuka puasa dan hanya akan membuka semula operasi untuk sahur pukul 3 pagi hingga 6 pagi.
Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (iMcom), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, masalah kekurangan tenaga kerja masih berlaku sehingga kini dan ternyata sangat menjejaskan operasi perniagaan restoran nasi kandar.
“Saya menerima maklumat beberapa restoran nasi kandar popular di negeri ini tidak akan membuka operasi restoran mereka seperti dahulu lagi kerana kekurangan tenaga kerja.
“Dahulu kebiasaannya ketika Ramadan restoran nasi kandar akan membuka operasi bermula pukul 3 petang sehingga tamat waktu sahur, tetapi kali ini banyak restoran hanya akan membuka operasi waktu sahur bermula 3 pagi hingga 6 pagi sahaja,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan isu kekurangan pekerja asing dalam sektor perkhidmatan sajian khususnya di restoran mamak serta makanan India diseluruh negara akan diselesaikan segera.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sejumlah pekerja asing dari Bangladesh akan masuk untuk memenuhi keperluan mendesak pengusaha restoran terbabit.
Mengulas lanjut, Mohamed Rizwan berkata, pengusaha restoran masih lagi terpaksa menunggu kemasukan pekerja asing untuk bekerja di restoran mereka selepas gagal mendapatkan pekerja tempatan.
Dalam pada itu, pemilik restoran nasi kandar Kassim Mustafa, Datuk Salim Mansor berkata, beliau juga berdepan masalah tenaga kerja sejak tahun lalu dan terpaksa mengehadkan waktu operasi serta menu makanan di premisnya.- UTUSAN











