Rayuan Nagaenthran ditolak, hukuman gantung kekal

Rayuan Nagaenthran ditolak, hukuman gantung kekal

D. Nagaenthran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menolak rayuan kes pengedaran dadah warga Malaysia, D. Nagaenthran, sekali gus mengekalkan pelaksanaan hukuman mati terhadapnya.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, M. Ravi melalui akaun Facebook miliknya, selain menjangkakan bahawa hukuman itu dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari.

“Mahkamah menganggap rayuan ini adalah penyalahgunaan proses dan undang-undang antarabangsa tidak terpakai.

“Nagaenthran yang kecacatan mental mungking dihukum gantung dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Selain rayuan itu, peguamnya juga meminta mahkamah supaya menggunakan kuasanya untuk meminta Nagaenthran dinilai oleh pakar psikiatri.

Perbicaraan hari ini didengar di hadapan panel lima anggota yang terdiri daripada Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon, Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

Pada 6 November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi meringankan hukuman terhadap Nagaenthran serta menangguhkan hukuman itu dan mengemukakan permohonan baharu Pengampunan Presiden Singapura.

Ini diikuti kiriman surat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan pengampunan, namun Presiden Singapura, Halimah Yacob memberitahu bahawa Nagaenthran telah melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

Nagaenthran sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, namun Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan dalam pelaksanaan hukuman mati, sementara menunggu pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Nagaenthran, 33, berasal dari Ipoh, Perak, yang didakwa peguamnya adalah orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu ditemui dilekatkan di pahanya kirinya.

Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, yang memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata, proses rayuan melalui mahkamah sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020 lalu dan hukuman mati itu kekal dan dilaksanakan di Kompleks Penjara Changi, Singapura.

Namun sejak dijatuhkan hukuman mati, kes Nagaenthran mendapat perhatian meluas di seluruh dunia termasuk Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID) yang meminta Singapura supaya tidak melaksanakan hukuman mati tersebut, sebaliknya diberikan pengampunan.

Malah, Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (ADPAN) yang disertai 28 negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Singapura berpendapat tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah kerana memiliki IQ serendah 69 serta menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian, sekaligus dianggap sebagai OKU. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya