PETALING JAYA: Lebih 300,000 penduduk di Kuala Langat bimbang mengenai keselamatan dan tahap kesihatan dalam jangka masa panjang berikutan penempatan mereka kini dikelilingi ratusan kawasan industri termasuk yang sedang dibina.
Malah, kawasan industri dimaksudkan terletak begitu hampir dengan sungai sekali gus mewujudkan risiko berlaku pencemaran terhadap air yang mengalir dan dalam masa sama dijadikan sumber untuk kegunaan harian penduduk di daerah itu.
Menurut Ahli Jawatankuasa Badan bertindak Kampung Sungai Manggis, Kuala Langat Suhaizam Mohd. Kassim, kilang-kilang terutama yang baharu hendak dibina berhampiran dengan kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang di Kuala Langat dipindahkan ke kawasan jauh daripada sungai.
“Pencemaran air, masuk ke dalam sungai, apabila ada pasang surut boleh hanyut sehingga lebih 10 kilometer dan akhirnya sampai ke LRA dan seluruh orang Kuala Langat, selepas Jambatan Banting, minum air daripada LRA Labohan Dagang. Anda sedar tak sedar yang anda minum sisa kilang.
“Mungkin, bukan hari ini atau esok, tetapi jangka panjang akan memberi kesan kepada kesihatan, kesihatan anak-anak. Bayangkan anak-anak kita pergi ke sekolah yang jarak dengan kilang kurang lima kilometer. Tak masuk akal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
KECEWA
Beliau menambah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dikatakan tidak memberikan maklumat jelas kepada penduduk mengenai kewujudan kawasan-kawasan industri terutama kilang-kilang yang baharu dibina berhampiran sungai, perumahan penduduk dan sekolah.
Malah, Suhaizam turut berasa kecewa dengan tindakan PBT yang membenarkan ratusan hektar tanah dijadikan kawasan industri tanpa memikirkan soal hak penduduk untuk tinggal dalam kawasan bebas pencemaran serta kesihatan mereka.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan sama ada PBT sengaja membutakan mata atau tidak mahu mendengar keluhan penduduk sehingga membenarkan kemasukan industri seperti dari luar negara masuk atas alasan pelaburan asing terus (FDI).
“Kami amat mengharapkan agar kilang-kilang, bukan menolak pembangunan, kalau di tempat yang sama ada kilang epal (makanan) contohnya, kami sangat gembira dan mengalu-alukan.
“Adakah kita tidak mampu berfikir untuk membawa industri yang lebih baik. Kalau hendak buat juga pun pindahlah ke tempat lain, carilah kawasan lebih sesuai dan jauh dari perumahan penduduk,” katanya. – UTUSAN










