PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek bernilai RM132 juta membabitkan sebuah institusi berkaitan automotif di negara ini.
Menurut sumber, suspek yang merupakan Penasihat Kanan sebuah syarikat dipercayai memberi suapan berjumlah RM5 juta sebagai balasan bagi syarikat di bawah kawalannya mendapat geran projek.
Suspek lelaki berusia 36 tahun itu dibenar reman selama empat hari Majistret, Shah Wira Abdul Halim bermula hari ini sehingga 1 April ini di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak SPRM turut dibenar melanjutkan penahanan reman seorang lagi suspek bergelar Datuk yang ditahan sebelum ini selama empat hari bermula esok sehingga 2 April ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut serta memaklumkan suspek ditahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Khamis lalu, sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung satu projek bernilai RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif. – UTUSAN