Ramai lepasan SPM jadi penagih di Melaka

Ramai lepasan SPM jadi penagih di Melaka

WAN MADIHI WAN SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Individu tamat persekolahan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) direkodkan sebagai golongan tertinggi menjadi penagih dadah berbanding mereka yang tidak bersekolah di negeri ini.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh memberitahu Utusan Malaysia, pada Januari 2021, seramai 672 orang kena pengawasan (OKP) adalah lepasan SPM dan jumlah itu berkurang kepada 628 orang pada Februari 2021.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, mereka yang tidak bersekolah pula direkodkan hanya 21 orang.

“Pada Januari tahun 2022 pula, seramai 638 OKP dipantau adalah mereka yang tamat sekolah pada tahap pendidikan SPM dan angka menurun kepada 619 pada Februari lalu.

“Mereka yang langsung tidak mendapat pendidikan seramai 14 orang sahaja manakala OKP pada tahap Pendidikan Menengah Rendah (PMR) juga tinggi dengan merekodkan jumlah konsisten antara 621 sehingga 640 individu dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui.

Tambah Wan Madihi, selebihnya adalah di peringkat sekolah rendah, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sijil, diploma dan ijazah dengan jumlah keseluruhan OKP sekitar 1,549 sehingga 1,675 orang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut pecahan pekerjaan pula, jumlah OKP tertinggi adalah melibatkan kelompok buruh iaitu antara 530 sehingga 525 orang pada 2021.

“Tahun ini, golongan buruh masih mendominasi kategori pekerjaan dengan seramai 500 OKP direkodkan dan jumlah berkurang kepada 491 orang pada bulan lalu.

“Selain buruh, peniaga dan pekerja dalam sektor perkhidmatan juga antara yang merekodkan jumlah tertinggi OKP,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, lebih separuh atau hampir 3,000 daripada keseluruhan 5,000 penagih dadah di Melaka adalah daripada golongan belia.

“Setakat September tahun lalu, daripada 5,000 yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, seramai 2,809 orang atau 56.2 peratus daripadanya adalah belia berusia 19 hingga 39 tahun.

“Ini diikuti golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas (2,140 orang) selain remaja berumur 13 hingga 18 tahun seramai 50 orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN