KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat mengambil bahagian secara aktif dalam membantu memberi input berkaitan tadbir urus dan merangka dasar baik kepada kerajaan memerintah
Baginda bertitah, penglibatan rakyat dalam demokrasi tidak terhad kepada peluang memilih pada pilihan raya semata-mata.
Titah Sultan Mizan, walaupun rakyat sudah melantik wakil-wakil untuk berbincang dan membahaskan enakmen dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), namun prinsip langit terbuka, menuntut penyertaan golongan sasar bagi menentukan hala tuju negeri serta negara.
“Dalam suasana muhibbah, terhormat dan bertamadun, proses membuat dasar sudah menjadi semakin demokratik ibarat kata pepatah, seliang bagai tebu, serumpun bagai serai.
“Sekiranya kita saling bekerjasama dan berperanan dengan baik, insya-Allah, kejayaan juga yang bakal menanti,” titah baginda dalam istiadat pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Titah baginda dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sultan Mizan turut mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam yang menjadi benteng dan memainkan watak utama dalam merealisasikan dasar-dasar ditetapkan kerajaan.
Baginda bertitah, pengamalan sistem tadbir urus yang menjadi penanda aras, budaya kerja kelas pertama dan tahap integriti yang tinggi adalah prasyarat dalam menentukan kejayaan sesebuah pentadbiran.
“Ahli-Ahli yang berhormat dan penjawat awam perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan pembangunan Terengganu terus berada di landasan yang tepat,” ttah baginda. – UTUSAN