GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan merujuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berhubung isu Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berharap KASA boleh melaksanakan tanggungjawab mengenai pembekalan air mentah kepada negeri-negeri yang mengalami kekurangan sumber air.
“Umumnya, saya telah memaklumkan hasil perbincangan dengan Kerajaan Negeri Perak di Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMK) semalam dan memutuskan isu berkaitan akan dirujuk kepada KASA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Kerajaan Negeri Perak masih tidak mampu memenuhi permintaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah ke negeri itu disebabkan keperluan domestik yang masih tidak mencukupi.
Projek SPRWTS dicadangkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memanfaatkan sumber air kedua Pulau Pinang di Sungai Perak untuk memenuhi keperluan permintaan air pada masa hadapan bagi Pulau Pinang dan utara Perak sehingga 2025.
Kon Yeow berkata, pada 1 Mac lalu, beliau telah mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengadakan perbincangan berhubung SPRWTS dengan Menteri Besar Perak.
Hasil daripada perbincangan tersebut jelas beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perak bersetuju merujuk isu berkenaan kepada KASA yang kini sedang memuktamadkan satu kajian mengenai sumber air di Sungai Perak.
Tambahnya, dalam pertemuan yang berlangsung antara dua pihak tersebut, kerajaan negeri sekali lagi mengulangi permintaan kepada Perak untuk meneroka potensi Sungai Perak sebagai bekalan sumber air mentah jangka panjang.
“Namun, Menteri Besar dan agensi-agensi berkaitan Kerajaan Negeri Perak memberi maklum balas yang mana Perak, khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah khasnya untuk kegunaan kepelbagaian sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk,” katanya.
Kon Yeow berkata, Menteri Besar Perak dalam pada itu juga membuat kesimpulan permintaan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang adalah bergantung kepada kecukupan bekalan air dari Sungai Perak sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat.
“Kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil maklum hujah yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak dan pada masa sama hujahan tersebut membuktikan projek SPRWTS juga amat diperlukan bukan sahaja oleh Pulau Pinang tetapi juga Perak khususnya di bahagian utara negeri berkenaan.
“Berlandaskan faktor tersebut, kerajaan negeri Pulau Pinang cuba meyakinkan kerajaan negeri Perak yang mana projek SPRWTS adalah perlu dilaksanakan demi memenuhi kehendak serta permintaan kedua-dua negeri ini,” katanya. – UTUSAN










