Produk ‘tie-dye’ Cherating terbang ke San Francisco

Produk ‘tie-dye’ Cherating terbang ke San Francisco

WAEL Anaqi Efendy, 5, cucu kepada pengusaha Umi-TieDye membantu mengangkat baju yang telah kering di Cherating, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Saya tak pernah ke San Francisco, tapi produk diusahakan saya hanya di sebuah kampung kecil di Cherating sudah berada di sana.”

Demikian kata Umi Hasrul, 43, kepada Utusan Malaysia yang mengusahakan produk pakaian menggunakan teknik ‘tie-dye’ atau dikenali ikat dan celup.

Tie-dye adalah teknik mengikat baju sebelum dicelup atau disemburkan dengan pewarna untuk menghasilkan corak yang unik serta menarik.

Umi yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya, Mazlan Idris, 57, sejak menetap di Cherating di sini 30 tahun lalu kini aktif menghasilkan pelbagai produk ‘tie-dye’ dengan jenamanya sendiri iaitu Tydie Neverdie.

Menurutnya, dengan usaha gigih mempelajarinya secara dalam talian dan aplikasi YouTube, dia mampu menjana pendapatan bukan sahaja di pasaran tempatan malah ke luar negara.

“Sedikit sebanyak memang saya dan suami bangga apabila rekaan yang kami cipta sendiri boleh diterima rakyat luar negara.

“Untuk mencari tapak memasarkan produk Cherating ke luar negara itu, saya mengambil masa agak lama dengan menyertai beberapa ‘Tiedyer’ di luar negara supaya produk Tydie Neverdie boleh dilihat mereka sebelum sampai ke sana.

“Kemudiannya, lima tahun lalu, sebuah kedai, Love On Height di San Francisco yang menjual barangan berasaskan ‘tie-dye’ menawarkan produk kami diletakkan di kedainya. Jadi, untuk tempoh tiga bulan sekali, kami akan menghantar produk seperti pakaian, beg, cadar, topi, pareo dan bermacam-macam lagi mengikut permintaan dan cita rasa pembeli di Amerika Syarikat,” katanya.

Umi berkata, walaupun mendapat permintaan sehingga ke luar negara, pasaran tempatan tetap diutamakan memandangkan ramai pengunjung dan pelanggan yang datang ke Kampung Cherating bukan sahaja melancong malah mencari produk keluarannya.

“Dalam setiap keluaran yang dihasilkan cukup berbeza dan pastinya mempunyai keunikan tersendiri, paling penting pemiliknya rasa bangga kerana tiada kebersamaan yang tepat dalam corak yang saya hasilkan.

“Di sini, saya sendiri yang menghasilkan corak dan rekaan malah anak bongsu dari lima adik-beradik, Najwa, 22, sudah mula menunjukkan minat serta kreativiti hampir sama. Dalam tempoh seminggu, saya boleh hasilkan sehingga 10 rekaan dan daripada itu kebiasaan penggunaan warna akan memainkan peranan penting untuk menjadikannya lebih eksklusif.

“Saya boleh jamin, tidak akan ada corak yang betul-betul sama dan penggunaan warna juga lebih menyerlah dan konsisten kerana saya menggunakan produk Jerman yang lebih berkualiti tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya