PRN Johor: 49,290 bertugas di 1,021 pusat mengundi - Utusan Malaysia

PRN Johor: 49,290 bertugas di 1,021 pusat mengundi

PETUGAS SPR membuat persiapan terakhir menjelang hari mengundi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 49,290 petugas menjaga proses pengundian di 1,021 pusat mengundi yang melibatkan 4,638 saluran sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, agensi itu mengharapkan semua 2.539 juta pengundi keluar menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi ditetapkan.

Menurut beliau, pengundi dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa dicadangkan menerusi aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir. SPR juga mengingatkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR sekali lagi mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu pukul 11.59 minit malam dan hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi sama ada di luar pusat mengundi dan saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ikmalrudin memberitahu, sesiapa yang memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen yang membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi.

Kata beliau, SPR mengingatkan semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu akan diambil tindakan undang-undang.

 

Pengundi bergejala

Sementara itu, pengundi yang bergejala dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau dan diuruskan oleh pegawai kesihatan, sementara pengundi berstatus Patient Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah.

“Kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah tersebut dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR hari ini telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok.

“Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik. Peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN