PRN Johor: PH tidak umum calon MB tepat, fokus isu rakyat - Utusan Malaysia

PRN Johor: PH tidak umum calon MB tepat, fokus isu rakyat

Langkah PH tidak namakan calon MB pada PRN Johor tepat, fokus isu rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Strategi Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR untuk tidak mengumumkan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah langkah yang tepat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana tumpuan rakyat khususnya pengundi ketika ini adalah terhadap apa yang ditawarkan sesebuah gabungan apabila menjadi kerajaan dan bukan hanya seorang individu bergelar Menteri Besar.

“Bukan soal calon parti A, B, atau C, tetapi rakyat mahu tahu apakah jalan penyelesaian kepada masalah utama dihadapi mereka khususnya melibatkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Harga barang keperluan harian terutama makanan terlalu tinggi dan sudah sampai tahap tidak tertanggung oleh rakyat, jadi isunya bukan calon Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hassan, langkah menamakan calon Menteri Besar juga dilihat sebagai rakus kepada kuasa dan jawatan, malah perkara itu perlu dijauhi PH.

Menurut beliau, calon-calon PH dalam PRN Johor ini sama ada  PKR, DAP mahupun Parti Amanah Negara (Amanah) sebaliknya menjadi suara dan jurubicara kepada kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.

“Jika kita mahu menang, adalah dinasihatkan supaya kita tidak terlalu taksub untuk menamakan siapa calon Menteri Besar, bersikap sederhana lebih baik.

“Nasib baik PH dan PKR khususnya tidak terjebak dalam sindrom ‘burung terbang, dipipiskan lada’. Rakyat Johor meluat dengan parti politik yang bongkak dan hanya memberi keutamaan untuk rebut kuasa,” ujarnya.

Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik adalah calon Menteri Besar daripada PKR, namun beliau memilih untuk mengunci mulut berhubung perkara tersebut.

Beliau sebaliknya berkata, masih terlalu awal untuk membicarakan soal calon Menteri Besar dan seharusnya tumpuan adalah terhadap usaha dan komitmen memastikan PH berjaya menubuhkan kerajaan pada 12 Mac nanti.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberitahu tiada perbincangan rasmi dibuat setakat ini berhubung calon Menteri Besar tetapi pihaknya tidak menolak mana-mana calon dan sedang buat pertimbangan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN