PETALING JAYA: Sebanyak 2,399 panggilan diterima pusat panggilan CCID Scam Response Center’s membabitkan jenayah komersial dalam tempoh penubuhanya sejak Februari tahun lalu sehingga kini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,530 panggilan atau 63.4 peratus adalah mengenai pertanyaan berkaitan modus operandi jenayah macau scam, love scam, belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan dan ah long.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sebanyak 869 panggilan lagi adalah berkaitan lain-lain pertanyaan, penyaluran maklumat jenayah dan sebagainya.
Mohd Kamarudin berkata, kajian mendapati sebanyak 1,430 atau 59.6 peratus pemanggil terdiri daripada individu yang menjadi mangsa.
“Manakala selebihnya iaitu 969 pemanggil (40.4 peratus) adalah individu yang tidak menjadi mangsa.
“Penugasan panggilan CCID Scam Response Center itu telah beroperasi setiap hari dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam,” katanya sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Mohd. Kamarudin, JSJK akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lebih pantas dalam menangani jenayah penipuan dalam talian.
Jelas beliau, gabungkan tiga agensi itu dapat mempercepat tindakan susulan.
“Paling penting adalah kita mahu mengesan ‘money trail’ kerana proses sindiket itu mengeluarkan duit begitu pantas dari akaun mangsa ke akaun lain.
“Proses kerjasama serta mengeratkan lagi sistem sedia ada itu sedang berlangsung. Kita menjangka kedua-dua agensi itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan CCID Scam Response Center pada Jun ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Mohd. Kamarudin, CCID Scam Response Center merupakan sebuah pusat panggilan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk memberi kemudahan kepada masyarakat untuk berkomunikasi secara langsung dengan JSJK.
“Berdasarkan perangkaan yang diperolehi, kes-kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan. Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif bagi memastikan maklumat berkaitan jenayah komersial dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN