JOHOR BAHRU: Polis menahan enam lelaki disyaki terlibat kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah dalam lima serbuan di sekitar bandar raya ini dan Kulai, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi bermula pukul 7 malam hingga pukul 9.40 malam itu, kesemua lelaki yang diberkas berusia 32 hingga 46 tahun.
Menurutnya, sejumlah 127.73 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu, ganja serta magic mushrooms itu bernilai RM796,270.
“Modus operandi sindiket ini adalah mengubah suai kereta dan lori iaitu tempat duduk penumpang untuk menyembunyikan dadah sebelum diedarkan. Bekalan dadah ini dipercayai diseludup dari negara jiran sebelah utara dan dipasarkan di negeri ini serta negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya.
Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenama Baretta bersama satu kelopak dan enam butir peluru hidup.
Jelasnya, selain itu, enam buah kenderaan disita serta pelbagai mata wang asing bernilai RM235,584.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek ditahan positif dadah jenis methamphetamine selain tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – UTUSAN