PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan lapan serbuan dalam membanteras sindiket penyeludupan kontraban, hidupan liar dan penyelewengan barangan kawalan menerusi Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah (OBK) bermula pada 26 Februari sehingga 22 Mac lalu.
Operasi berkenaan dijalankan pihak polis menerusi Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) dan Pasukan Gerakan Khas (PGK).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, hasil operasi itu pelbagai barangan seludup RM10.67 juta berjaya dirampas polis.
Kata beliau, operasi pertama telah dijalankan pada 26 Februari lalu yang mana telah menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Klang.
Ujarnya, hasil serbuan itu, sebanyak 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1 juta berjaya dirampas.
“Serbuan kedua dijalankan pada 8 Mac lalu menerusi Op Kontraban melibatkan pengedaran rokok seludup di Kajang, Selangor.
“Seorang lelaki tempatan telah diberkas selain serbuan turut merampas 183,160 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM383,265 selain sebuah kenderaan turut dirampas, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM426,520,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata beliau, operasi ketiga pula dijalankan pada 9 Mac menerusi operasi bersepadu bersama Jabatan Perhilitan.
“Operasi dijalankan ini berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan serta merampas tiga ekor haiwan marmoset di Subang Jaya, Selangor dengan nilai rampasan berjumlah RM60,000.
“Hasil operasi berkenaan membawa kepada serbuan di kedai milik suspek sekaligus merampas 70 ekor burung pelbagai jenis dan warna dengan jumlah rampasan sebanyak RM260,000,” jelasnya.
Tambah Hazani, susulan serbuan dan operasi ketiga membawa kepada satu lagi serbuan berasingan pada tarikh yang sama.
“Serbuan dijalankan di Seri Kembangan ini menahan seorang wanita warga tempatan.
“Selain itu serbuan dijalankan turut merampas dua ekor monyet jenis Blue Monkey dan tiga ekor kucing batu dengan jumlah rampasan bernilai RM240,000,” katanya.
Hazani berkata serbuan kelima dijalankan pada 16 Mac menerusi Op Kontraban di mana sindiket menjual minuman keras bebas cukai berjaya ditumpaskan di Kepong, Kuala Lumpur.
“Serbuan ini berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka.
“Turut dirampas adalah minuman keras jenis bir sebanyak 10,973.6 liter dan minuman keras jenis liquor sebanyak 1,306.88 liter bernilai RM465,845.74, selain itu turut dirampas sebuah kenderaan dan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM736,658.99,” jelasnya.
Katanya, serbuan keenam pula berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Puchong, Selangor pada 17 Mac lalu.
Dalam serbuan itu berjaya merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Menurutnya, serbuan ketujuh yang dijalankan pada 18 Mac turut berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Temerloh, Pahang.
“Menerusi Op Kontraban ini, serbuan dijalankan berjaya memberkas dua lelaki tempatan dan merampas 569,880 batang rokok seludup pelbagai jenama.
“Turut dirampas sebuah kenderaan dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 1 juta,” jelasnya.
Tambah Hazani, serbuan kelapan telah dijalankan pada 22 Mac lalu menerusi Operasi Penyelewengan barangan kawalan di Semporna, Sabah.
Di situ, satu sindiket penyeludupan minyak petrol telah berjaya ditumpaskan menerusi operasi ini, selain itu seramai tujuh lelaki tempatan telah diberkas.
“Turut dirampas sejumlah 60,200 liter minyak petrol, dua buah kapal tangki minyak , sebuah kapal tunda, dan sebuah lori tangki minyak dengan jumlah rampasan bernilai RM 5.5 juta,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya berdasarkan statistik keberhasilan pihaknya telah berjaya melaksanakan sejumlah 16 serbuan dan menahan seramai 26 individu.
“Menerusi keseluruhan operasi serta serbuan ini nilai rampasan berjumlah RM20,065,406.21.
“Kami akan terus komited dalam membanteras penyeludupan kontraban, penyelewengan barangan kawalan, pemburuan hidupan liar dan jenayah rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN